Si cilik cili padi wakili negara
KECIL-kecil cili padi, walaupun berusia empat tahun ia bukan penghalang buat Puteri Rabiatul Adawiyah Mat Zaki menempah kejayaan dan terpilih mewakili negara dalam Kejohanan 7th Asian Schools Chess 2011 di New Delhi, India pada 16 Disember ini.

Kebolehan kanak-kanak itu mengalahkan pemain lebih dewasa membawa tuah apabila Kerajaan Negeri Perak sudi membiayai peruntukan berjumlah RM10,000 ke pertandingan tersebut.

Exco Kerajaan Negeri, Datuk Hamidah Osman berkata, ini merupakan atlet termuda dihantar negara bagi mewakili kategori bawah lima tahun dalam kejohanan terbabit.

“Dengan usaha sama Exco Kebudayaan, Kesenian, Belia dan Sukan Negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin, kami terus bersetuju menaja adik Puteri melakar sejarah negara dengan menjadi peserta termuda dalam kategori berkenaan.

“Yakin dengan kebolehanya bermain catur dengan mengalahkan kakitangan saya, bakatnya harus dihargai dengan menimba pengalaman menyertai pertandingan diperingkat antarabangsa,” katanya dalam sidang media di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini, semalam.

Sementara itu ibunya, Raja Noraizah Raja Mahmood berkata, Puteri Rabiatul Adawiyah dihantar Akademi Catur Insofar pada usia tiga tahun dan boleh mengalahkan kanak-kanak berusia lapan atau sembilan tahun dalam permainan ini.

Menurutnya, bakat anaknya disedari apabila Puteri Rabiatul Adawiyah boleh mengenali buah catur sejak berusia setahun.

“Ini peluang keemasan kepada Puteri Rabiatul Adawiyah untuk membuktikan kemampuannya di samping tunjuk ajar dari ayahnya, Mat Zaki Yeop, 53, yang menjadi jurulatihnya.

“Harapan kami adalah supaya Puteri Rabiatul Adawiyah boleh memenangi kategori itu dan kami yakin dia boleh menjadi Grandmaster catur antarabangsa suatu hari nanti,” katanya.